Category: Tarbiyyah
Balaslah dengan manfaat dan kebaikan
| April 20, 2012 | Posted by fakulito under Tarbiyyah |
Pepatah ini biasa diungkap, tetapi jarang sekali diamalkan. Atau mungkin sekali sukar dipraktikkan apabila situasi ‘dilempar batu’ itu berlaku.
Pepatah ini relevan andai kebaikan, usaha dakwah mahupun kebajikan yang kita buat disalah ertikan dan ditentang. Usaha dakwah Rasulullah s.a.w. umpamanya, ditentang bukan secara biasa-biasa, tetapi dengan najis, bangkai, duri,kata-kata, pemulauan dan peperangan sebagai alat.
Mengajak teman ke arah kebaikan; program-program agama umpamanya, kadang-kala juga dicemuh sesetengah rakan kita.
” Yelah, kau budak surau, pergilah ke program kau tu.”
“Blah ar wei, bajet orang beriman la tu.”
“Tu, budak soleh nak berdakwah kat kita la tu.”
Bersangka baik, berlapang dada
Orang yang sentiasa berusaha mendalami ilmu agama dan hidup bersama program-program tarbiyah lebih taqwanya kepada Allah s.w.t., berbanding mereka yang jauh dari agama. Taqwa bererti menelusuri kehidupan di dunia dengan penuh berhati-hati dari ranjau dosa dan laknat Allah s.w.t., semata-mata untuk mencapai redha dan syurga-Nya kelak. Justeru itu, tohmahan dan halangan daripada sekelompok manusia tertentu bukanlah asbab untuk kita membenci mereka, mahupun membalas semula perbuatan buruk mereka.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain”. (Riwayat Muslim)
Teringat pula kata-kata Shaheizy Sam yang sering didengar dalam iklan selingan di radio ERA yang maksudnya lebih kurang:
“Biar orang buat kita, jangan kita buat orang…”
Lebih baik kita bersangka baik terhadap mereka, berlapang dada seterusnya mendoakan agar Allah s.w.t. membuka hati mereka untuk memperbaiki akhlak.
“Ya Allah! Ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui. Amin! Amin! Amin! Ya Rahman! Ya Rahim! Ya Ghafur! Ya Rab bal A’lamin!.”
Membenci pun tidak mahu
| March 31, 2012 | Posted by fakulito under Tarbiyyah |
Maksiat dan kejahatan ada di mana-mana. Tetapi masih ramai orang Islam meredhai. Membenci dengan hati pun tidak mahu?
Hati yang tidak membenci kejahatan adalah hati yang sangat sakit.
Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; “Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah selemah-lemah iman.”
Hati yang membenci adalah tanda iman yang paling lemah?
Maka mereka yang berhati tidak membenci, adakah iman mereka di bawah paras negatif?
akhlak tanda iman
| February 28, 2012 | Posted by fakulito under Tarbiyyah |
Akhlak boleh dimaksudkan sebagai perilaku dan tindakan spontan yang dibuat oleh seseorang dalam keadaan tertentu, lantaran dia meyakini itulah tindakan terbaik yang patut dilaksanakan. Akhlak ialah sikap dan perangai yang dibuat berdasarkan apa yang terdetik di hatinya. Akhlak adalah tindakan yang tiada kongkongan mahupun suruhan. Akhlak adalah tindakan semula jadi.
Imam as-Syafie pernah menyebut, “Akhlak adalah satu keadaan yang kukuh dalam jiwa. Melaluinya, perbuatan dan tindakan terbit dengan mudah dan senang tanpa perlu berfikir dan merenung.
Akhlak Islamiyah bererti perangai peribadi seseorang itu terlaksana sesuai dengan kehendak Islam.
Akhlak adalah semulajadi. Seseorang yang mahu bersedekah lantaran dia telah bernazar untuk bersedekah, maka ia bukanlah satu akhlak.
Akhlak adalah tindakan. Seseorang yang merancang untuk memberi derma kepada beberapa buah rumah anak yatim, dia belum lagi menunjukkan akhlak.
Akhlak bermula dengan ilmu. Seseorang mesti mendalami ilmu Islam dan akhlak untuk mengetahui yang mana akhlak baik, yang mana akhlak buruk.
Akhlak memerlukan kemampuan. Seseorang yang berniat untuk menderma, tetapi tidak mempunyai harta apa pun, maka dia belum melaksanan akhlaknya.
Akhlak adalah tanda iman. Jika imannya lemah dan hatinya gelap, maka agak sukar sekali seseorang itu hendak berakhlak mulia.
Realiti

Kita lihat banyak komentar-komentar di internet; pada artikel, berita dan sebagainya, dihambur dengan kata-kata yang sangat hodoh bahasanya. Dengan lucah, makian, hinaan dan sebagainya. Akhlak sebegini membolehkan kita meragui apa khabar iman orang yang memberi komentar itu.
Membenci seseorang bukanlah lesen untuk berakhlak buruk. Sebaik-baik akhlak untuk mengurangkan rasa benci ialah sabar dan al-hilm (menahan marah).
Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghambur kata-kata kesat mahupun memarahi orang-orang Musyrikin Mekah sewaktu dibaling perut unta, ditabur duri di jalan.
Situasi ‘biasa’ masa kini bila mana demonstrasi dibuat. Kalau tidak malu dengan Allah s.w.t., malulah dengan malaikat di kiri dan tanganmu!

Apakah ini jawapan dari hati atau jawapan pertahan diri? Lau kana Rasulullahu bainana (andainya Rasulullah s.a.w. bersama kita), apakah baginda sependapat dengan muslimat di atas?
Bagaimana mahu berakhlak Islamiyah?
- Lupakan orang lain. Pandang diri anda dahulu. Muhasabah diri dengan keadaan sedia ada, adakah anda seorang yang berakhlak Islamiyah?
- Kenali akhlak-akhlak Islamiyah melalui pembacaan.
- Baca sirah Rasulullah, kisah sahabat dan tabi’in. Kenal dan ikut cara mereka berakhlak dan mendepani musuh Islam.
- Bagi privilege / lesen untuk rakan anda menegur anda bilamana anda dilihat tidak berakhlak.
- Bersedia menerima teguran.

