Category: Diari Hati
Menyedihkan
| December 3, 2011 | Posted by fakulito under Diari Hati |
Sepanjang kehidupan di dunia ini, ada satu saat yang telah menjadikan diri sangat sedih dan hiba.
Kesedihan yang teramat bukan kerana kematian orang tersayang, gagal dalam peperiksaan, kemalangan jalan raya, mahupun ditimpa penyakit.
Kesedihan yang teramat ini hanyalah hilangnya rijal jagaan dari jalan tarbiyah.
Seolah-olah dakwah kita ditolak. Tetapi dakwah tidak pernah salah, tetapi diri ini yang salah yang menjadi asbab dia jadi semakin jauh dengan agama.
Allah Maha Mengetahui.
Ini kisah lama, tetapi kisah lama ini sentiasa menghantui.
apa pulanganku
| November 9, 2011 | Posted by fakulito under Diari Hati |
Allah telah menyusun kehidupanku dengan begitu teratur dan baik sekali. Keluarga yang soleh dan memahami, pendidikan yang teratur, bersekolah di sekolah yang terbaik, dikurniakan teman-teman yang tidak lokek memberi peringatan, akal yang berfungsi, hati yang hidup, semangat yang tidak pernah hilang, bakat yang bermanfaat, pekerjaan yang halal, kualiti hidup yang baik, kesihatan yang baik, banyak lagi.
Kurniaan yang paling mulia yang Allah bagi ialah hidayah dan taufik untuk terus bersama jalan tarbiyah dan dakwah. Tanpa kedua-dua ini, hidup di dunia seperti hina tanpa permaidani merah. Walaupun fizikalnya hidup menjadi semakin sibuk berbanding manusia lain, realitinya kepuasan menerima dan memberi itu sentiasa terbit dalam hati.
Apa pulanganku kepadanya setelah diberi semua nikmat ini?
Bersyukur dengan alhamdulillah mungkin serendah-rendah syukur. Yang pasti, dakwah adalah jalan terbaik untuk menzahirkan rasa syukur ini.
Aku juga yakin Allah telah mengatur hidupmu sehingga ke hari ini dengan cukup baik sekali. Dan aku yakin cahaya tarbiah yang Allah beri kepadamu itulah semulia-mulia kurnia yang pernah kau terima dari ar-Rahim.
Aku juga berharap keistiqamahanmu pada jalan yang kau suka dan duka ini sentiasa utuh.
Semoga tsabat ya akhi. Janganlah mendoakan dirimu futur. Anda adalah apa yang anda katakan.
Mohon doa darimu agar aku tidak menjadi saksi lagi; saksi kepada futurnya seorang sahabat dari jalan ini.
Janji setia kita di jalan ini, adalah adanya tangan Allah di atas tangan-tangan kita. Biar kita menang dalam perjuangan, atau kita syahid dalam perjuangan.
tak siapa pun berkehendak
| September 20, 2011 | Posted by fakulito under Catatan, Diari Hati |
Sewaktu Islam mula-mula ditunjukkan di muka bumi, tak ada sesiapa pun yang berkehendak dengannya. Islam dijaja ke sana ke mari di jalan-jalan dan lorong-lorong di kota Mekah, tak ramai yang mahu melihat. Malah ada yang memaki hamun dan menghina Islam yang dijaja itu.
Allah tidak berkehendak untuk Mekah menerima Islam, walaupun Islam itu jatuh di tanah Mekah. Lalu Islam dibawa pula ke Madinah, man tahu ada yang berkehendakkan Islam.
Orang-orang Ansar lebih memahami dan menerima Islam lebih mudah. Sumpah setia Aqabah ke-2, dan ucapan Sa’ad bin Mu’adz di medan Badr menjadi saksi segalanya. Semoga Allah merahmati orang-orang Ansar. Merekalah sebaik-baik penolong agama Allah.
Tapi itu dahulu.
Kini, Islam yang agung dan hebat di muka bumi dengan empayar demi empayar Islam bangkit memimpin umat, rupa-rupanya sedang dilontar ke sana-ke mari.
Semakin ramai yang tidak berkehendak kepada Islam. Islam yang yang agung kini kembali dijaja.
Tidak laku kah Islam di akhir zaman ini? Hina sangatkah Islam di mata umat Islam sendiri? Di mana kebanggaan umat Islam terhadap agama mereka yang benar ini?
Islam akan kembali asing, sebagaimana Islam pernah datang dalam keadaan asing.
Dan beruntunglah orang-orang yang berkehendakkan Islam, di saat ramai yang tidak berkehendakkannya.
