Category: Dakwah
Negara Islam Ideal
| February 17, 2012 | Posted by fakulito under Dakwah, Sejarah, Tarbiyyah |
Model negara Islam paling ideal ialah negara Islam Madinah pada periode terakhir sebelum kewafatan baginda Rasulullah s.a.w.
Pada masa itu setiap orang Islam melengkapi orang Islam yang lain. Orang Islam mempunyai fikrah dan sahsiah Islamiyah yang paling tulen seperti yang Rasulullah s.a.w. ajarkan. Tarbiyah, dakwah dan jihad berlaku dengan sangat optimum tetapi dengan sepenuh daya diri umat. Zatiyah Islam? Usah dipertikaikan lagi!
Tempat ulama bukanlah di masjid ataupun di majlis ilmu. Ulama adalah semua orang. Ulama juga bergelumang dengan debu-debu jihad, ulama juga bermandi peluh bermusafir menyampaikan risalah Allah. Ulama adalah semua orang. Semua orang adalah ulama dan cinta untuk berdamping dengan Allah dan Rasulullah.
Semua orang cintakan masjid, ilmu, dakwah dan jihad. Mereka bersatu atas dasar Islam. Mereka bergerak dengan tersusun dan berorganisasi. Mereka adalah duta kepada Islam. Dunia dan akhirat mereka seimbang.
Pada masa itu belum lagi golongan salafi, sufi dan sebagainya yang ekstrim. Tiada seekstrim mampu berjalan di atas air, terbang di langit mahupun tidak makan hanya minum air sehingga masyarakat kagum dan taksub. Tiada seekstrim mengecam orang lain kerana gagal mengikut sunnah Nabi dengan paling sempurna.
Pemesongan aliran aqidah tidak ada. Tiada Syiah, tiada khawarij, tiada mu’tazilah, tiada ajaran sesat sesesat Ayah Pin mahupun tarikat-tarikat pelik.
Undang-undang Islam dilaksana dan diamal tanpa banyak bicara. Seolah-olah pada hati-hati umat Islam sendiri telah terlaksana undang-undang Islam.
Islam dan bangsa Arab yang mendominasi Islam adalah sebaik-baik bangsa pada masa itu. Tanah Arab adalah sebaik-baik tanah air kerana Islam dimuliakan di situ. Bangsa Arab ada kuasa wewenang. Bangsa lain yang lain agama tunduk kepada kemurnian Islam. Mereka ditawarkan pembebesan diri dengan Islam. Mereka diperangi andai menentang, atau dimeterai perjanjian dengan cukai andai mengakui pemerintahan Islam.
Sepatutnya negara-negara di dunia kini yang mengakui negara merea adalah negara Islam mesti mendefinisikan semula apakah negara Islam yang mereka akui adalah seperti Madinah dahulu, dan yang Allah redha?
Sepatutnya negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam mesti bergerak ke arah membebaskan negara mereka dengan Islam.
Masalah utama rakyat Islam Malaysia hari ini adalah sangat jauh untuk menjadi seperti rakyat Madinah dahulu.
Mereka masih belum merasai bahawa mereka adalah batu-bata kepada pembinaan semula negara, empayar dan tamadun Islam yang akan naik semula nanti.
Mereka mesti disedarkan.
Da’i jangan leka dengan tugas. Amanah Allah ini di tangan anda.
Kalaulah amanah ini disia-siakan …
fobia
| January 22, 2012 | Posted by fakulito under Dakwah |
Fobia
Fobia bukanlah benci, tapi rasa ingin menjauhi sesuatu setelah berlaku peristiwa pahit ketika bersama sesuatu itu. Rasa fobia bererti rasa takut, tidak sedap hati lantas meyakini sesuatu yang seburuk, atau yang lebih buruk daripada yang perna berlaku pasti akan berlaku.
Selalunya fobia ini dengan macam-macam. Fobia dengan labah-labah kerana pernah diserbu ratusan labah-labah, fobia berada di tempat tinggi kerana pernah jatuh dari tempat tinggi, fobia dengan api kerana pernah berlaku kebakaran yang membunuh individu tercinta, dan macam-macam lagi.
Fobia dengan manusia
Kerana kehidupan dengan seseorang itu sentiasa melukakan hati, merosakkan jiwa dan maruah diri, mengusutkan perjalanan hidup, membawa derita dan sengsara, bermakna ada fobia dengan seseorang manusia.
Fobia dengan jemaah
Fobia dengan jemaah mungkin jarang berlaku, tetapi pernah berlaku, tiada penafian terhadap ini. Kerana dia tidak memahami peranan jemaah yang sebenar, atau jemaah itu terlalu mengongkong kehidupannya, atau dia terlampau intimak dengan jemaah, atau jemaah itu tidak berprinsip yang syarii, atau dia dengan jemaah adalah entiti yang tidak selari.
Disebabkan berlaku ‘isu’ dan kecelaruan kefahaman terhadap jemaah, dia lari meninggalkan jemaah.
Meninggalkan jemaah adalah tidak malang, tetapi meninggalkan dakwah yang dia sudah fahami dan yakini adalah disaster buat dirinya sendiri.
Bukankah jemaah adalah alat yang lebih kecil, dan dakwah adalah alat yang lebih besar untuk sampai ke arah Allah s.w.t. dan Syurganya sebagai matlamat yang ultimate?
Jangan biarkan fobia kepada seseorang dalam jemaah menyebabkan wujudnya fobia kepada jemaah.
Tiada individu sebagai satu jemaah. Cuma Rasulullah s.a.w. sahaja adalah satu jemaah (Rujuk Fi Zilalil Quran Surah al-Anfal)
riak-riak air
| October 24, 2011 | Posted by fakulito under Dakwah |
Ketika mula-mula berjinak dengan amal dakwah di luar negara, seolah-olah seperti bermain air di tepi pantai. Hanya serpihan ombak yang dirasai, riak-riak air laut di gigi pantai sangat jinak dan lembut.
Semakin lama bersama dakwah, seperti semakin ke tengah laut. Pukulan ombak semakin kuat, semakin hebat. Kadang-kala mendamaikan, kadang-kala memenatkan.
Kembali di Malaysia, ombak sudah tiada. Riak-riak air juga tidak kelihatan. Yang ada hanyalah ribut taufan, puting-beliung, keadaan laut yang tidak menentu. Jarang sekali terlalu tenang, acapkali terlalu menyukarkan.
Cabaran semakin besar. Permintaan semakin tinggi. Tugas tidak pernah berkurang.
Apa yang penting, thabat dengan apa yang kita yakini. Patuh pada arahan pimpinan. Jaga hak-hak ukhuwah dan adab-adab beramal jamaie. Jangan terperdaya dengan gelombang yang tidak menentu yang sentiasa datang dan pergi, atau kita akan lemas di lautan yang dalam.
Di tengah-tengah laut inilah medan amal dakwah yang sebenar. Bersedialah ke arah ini.
Dakwah adalah cinta.
Dakwah adalah perjuangan.
