Category: Catatan

Alfatih vs Muslihin

Seorang murabbi pernah menyebut pada suatu masa dahulu, antara dua kumpulan halaqah yang dia jaga, ada perbezaan yang tersirat yang dirasainya apabila setiap halaqah itu berjalan.

Ahli-ahli halaqah pertama ini berhalaqah untuk mendapatkan kekuatan, kata-kata semangat, iltizam dan suntikan baru untuk beramal. Seolah-olah medan amal yang mereka hadapi terlampau mencabar dan memerlukan ketahanan. Mereka seperti tidak henti-henti berlumba dan bertempur dangan kebatilan dengan sepenuh kekuatan. Umpama perwira dan mujahid di medan perang kembali ke khemah untuk mendapatkan bekalan dan suntikan semangat jihad. Dan di halaqah ini, mereka mendapatkannya.

Lalu mereka kembali ke medan amal untuk terus berjihad.

Ahli-ahli halaqah kedua ini berhalaqah untuk mendapatkan belaian, pujukan, kata-kata nasihat dan penguat azam. Seperti mereka di medan amal telah dibelasah bertubi-tubi sehingga luka parah yang teramat. Sehingga mereka telah dihina dan dicerca oleh para musuh agama yang durjana. Mereka kembali mencari-cari seseoang untuk meluahkan perasaan dan kesedihan. Dan di halaqah ini, mereka mendapatkannya.

Lalu mereka kembali ke medan amal untuk terus berjihad.

Apa yang penting, jangan pernah berhenti untuk berjihad.

Kehendak manusia vs kehendak Allah

Kehendak Allah adalah segala-galanya yang diwahyukan menerusi Al-Quran, dan semua sunnah Rasulullah s.a.w. Kehendak manusia adalah apa-apa sahaja yang manusia mahu berdasarkan pemahaman logik, dorongan nafsu, kata hati mahupun pengaruh orang lain.

Tidak selalunya kehendak manusia itu selari dengan kehendak Allah

Ada kalanya pula memang Allah ciptakan naluri dan kehendak dalam diri manusia itu berbeza dengan kehendak Allah. Inilah ujian yang Allah kurniakan kepadanya untuk menguji apakah dia mampu memenangkan kehendak Allah berbanding kehendak dia yang tidak berharga di mata al-Khaliq.

Contoh pertama: Seorang wanita yang fitrah kehendaknya ialah suka mengumpat dan memfitnah. Ini adalah kebiasaan dan bakat yang dia semenjak dia kecil lagi. Tetapi kehendak Allah adalah “Fitnah itu lebih pedih azabnya daripada membunuh”, dan Rasulullah s.a.w. juga menyebut, “Mengumpat adalah umpama memakan daging saudara kandung sendiri.”  Maka mengumpat dan memfitnah mesti dia ditinggalkan walau apa cara sekalipun, walaupun bagi wanita itu, ini adalah kehendak Allah yang paling sukar dia laksanakan.

Contoh kedua: Seorang lelaki yang fitrah kehendaknya ialah tertarik kepada kaum sejenisnya iaitu lelaki. Dari kecil sampai besar dia lebih meminati lelaki berbanding wanita. Tetapi Allah berkehendak agar “Lelaki dan wanita dicipta untuk bersama dan melahirkan keturunan.” Juga Allah telah menyebut “Kaum Lut yang mendatangi kaum sejenisnya sendiri telah diseksa Allah dengan azab yang pedih di dunia.” Justeru, tiada pilihan lain melainkan lelaki itu mesti melupakan fitrah kehendak yang dia suka kepada kehendak Allah yang wajib dia terima. Ini adalah kesukaran baginya.

Contoh lain adalah seperti mereka yang sangat liat untuk solat, berat hati berzakat, tidak memakai tudung, menerima hukum hudud dan sebagainya. Bentuk ujian adalah sama sahaja sebenarnya, cuma subjek ujian itu yang berbeza.

Humanisme Barat

Aliran pemikiran kemanusiaan yang diperkenalkan Barat adalah memeperjuangkan semua hak-hak manusia berlandaskan pemahaman logik, dorongan nafsu dan kata hati semata-mata, tanpa melihat agama (Islam) dan kehendak Allah adalah kehendak veto.

Yalah, agenda kehidupan Barat adalah berdasarkan keduniaan semata-mata dan bukan beraqidahkan Islam pun secara majoritinya. Jadi siapakah Barat sebenarnya untuk kita orang Islam yang beraqidah benar untuk kita ikuti?

Nafikan fitrah kehendak diri yang berbeza dengan kehendak Allah. Walaupun sukar, usaha mengatasi kesukaran itulah yang Allah pandang, bukannya natijah, kan?

Setiap manusia itu ditimpa ujian yang berbeza. Fahami ujian ini walaupun ia dalam bentuk fitrah kehendak songsang yang wajib dinafikan meskipun sepanjang tempoh kehidupan.

Bukankah kehidupan di dunia adalah penjara bagi orang yang beriman, dan syurga ialah kemenangan ultimate bagi mereka yang berjaya mengikut kehendak Allah?

Buat anda yang ‘istimewa’

Jika anda rasa anda tertarik dengan jantina sendiri, usahakan diri untuk menafikan kehendak anda itu. Yakinlah bahawa kehendak Allah adalah wajib untuk diikut. Anda adalah hamba, dan Allah adalah Tuan anda. Tambahkanlah ilmu agama di dada, bergurulah dengan ustaz ustazah, buatlah apa sahaja asalkan kehendak Tuan anda menjadi sasaran hidup anda.

“Allah tidak memberatkan hambaNya dengan ujian melainkan berdasarkan kemampuannya.”

Jika anda gagal sekali, bertaubatlah dan teruskan usaha. Usaha menghasilkan pahala, dan taubat juga menghasilkan pahala, Insya Allah!

Fikir: Fokus, keseluruhan, atau untuk orang lain

Fikir secara fokus. Sangat digalakkan kalau kita diamanahkan untuk memegang satu dua jawatan khusus. Contohnya media. Bila kita pegang jawatan dalam bidang media, kita boleh fikir banyak benda yang berkait dengan media, yang boleh beri manfaat kepada dakwah.

Fikir secara keseluruhan. Juga mesti dibuat lebih-lebih lagi amanah yang kita pegang berkait dengan tanggungjawab orang lain, atau beri kesan yang tidak sepatutnya. Mungkin kita nak rancang buat satu dua perkara untuk capai satu objektif yang dah di’set’. Tapi kemungkinan besar objektif itu mungkin tercapai dengan perlaksanaan rancangan kita, cuma ada ‘side impact’ yang turut serta, lagi-lagi kesan itu memberi mudarat dan fitnah yang besar kepada organisasi.

Tolong fikirkan untuk orang lain? Ini realiti waqi’i apabila sesuatu program nak dibuat, tetapi format dan kesesuaian program itu memerlukan orang-orang muda untuk fikirkan supaya program itu mesra masyarakat. Kena tolong fikirkan dan bagi buah fikiran, walaupun kita tidak terlibat secara kemanusiaan dalam program itu.

Akhirnya kita tidak boleh memilih, nak fokus sahaja, atau nak fikir secara keseluruhan sahaja, atau tak mahu fikirkan untuk orang lain. Letakkan tarbiyah dan dakwah di hadapan sekali, dan fikirlah secara bagaimana pun, demi tarbiyah dan dakwah.

p/s: Apa-apa yang baik untuk tarbiyah dan dakwah, ana setuju je, insyaAllah.

Next Page »