Category: Cafe
01002
| May 9, 2011 | Posted by fakulito under Cafe |
“Semoga Allah merestui perancanganku ini.”
Masjid ini kurang jemaahnya, walaupun solat Asar, walaupun berada di tengah-tengah kota. Aku tersenyum lagi. Maksudnya kehadiranku ke sini tidak sia-sia…
Seusai solat, aku memerhatikan sekeliling. Ada seorang dua, tiga yang masih duduk di masjid. Itupun termasuk imam dan bilal. Walaupun masjid ini letaknya amat dekat dengan bangunan-bangunan pejabat, namun bilangan jemaah masih tidak ramai. Jam menunjukkan 5 petang. Setidak-tidaknya ramai yang berniat makmum masbu’. Tetapi tidak. Malah ramai yang berlumba-lumba mahu pulang. Apakah keluarga ataupun katil mahupun Astro yang sedang dikejar di rumah?
Kiranya ada seorang sahaja makmum yang sedang duduk, berdoa panjang nampaknya. Aku memerhatikannya dengan mata hati – seorang anak muda, berkemeja, berseluar jeans hitam. Mukanya bersih, tiada jerawat, tiada misai dan jambang. Melihatkan dia tampak menyenangkan. Aku mahu mengenalinya. Tetapi bagaimana? Ada strategi?
Aku sedang memakai kasut di tangga masjid. Lelaki itu menuruni tangga untuk memanggil kasutnya. Bukan memanggil, tetapi mahu mengambil kasutnya.
“Eh, minta maaf. Tak perasan kasut Encik ada di bawah saya.” Aku bersuara dahulu sebelum dia. Aku memang tahu kasutnya di situ, tetapi sengaja buat-buat tidak tahu. Mahu memulakan perbualan.
“Nah, kasut Encik.” Aku menghulurkan kasutnya.
“Terima kasih.” Dia mengambil kasutnya lalu duduk berhampiran untuk memakai kasutnya.
“Kerja di kawasan ni ke?” Aku memulakan pertanyaan. Fokus dan mula menjurus.
“A ah. Di sana.” Sambil menunjuk ke satu arah.
“Kedai makan itu ke? Hurm … rasa lapar pula saya.” Aku tidak lapar, tetapi mahu mengenali pemuda ini dengan lebih …
“Ahaha. Kalau begitu jom makan ke kedai saya.”
Kedai saya? Adakah dia pemilik kedai itu? Begitu muda untuk dapat memiliki kedai sebesar itu.
01001
| May 2, 2011 | Posted by fakulito under Cafe |
Aku baru sahaja tiba di kota ini.
Berjalan kaki, tiba di sini. Bandar yang penuh dengan manusia. masing-masing sedang mengejar apa yang ada dalam fikiran mereka. Pelbagai cara, riak wajah, berbagai-bagai.
Aku tiba di sini, dari satu tempat yang tidak jauh. Aku berasal dari tanah, tempat yang sama. Aku tiba di kota ini juga untuk mengejar apa yang ada dalam fikiranku, tetapi ia berkaitkan dengan apa yang hati aku rasa, apa yang hati aku yakini. Apa yang aku faham, membawa aku ke sini.
Semoga Allah merestui perancanganku ini.
Aku tiba di sini, mencari-cari tempat duduk yang boleh aku lihat orang-ramai. Aku suka melihat orang-ramai. Lebih-labih lagi dalam fasa sebegini. Aku duduk, meletakkan beg yang tiada apa-apa yang berguna.
Orang-ramai lalu-lalang. Aku melihat setiap dari mereka. Aku memerhatikan, dan cuba menginterpretasi apa yang mereka sedang fikir, rancang untuk buat. Aku cuba mengagak asal-usul setiap dari mereka, dari cara pergerakan dana cara berpakaian mereka.
Aku senyum sendirian. Sudah sekian lama aku tidak menjadi seorang mentalist. Aku suka dengan perwatakan sebegini.
“Allahu akbar… Allahu akbar….”
Cukuplah menjadi mentalist, sekurang-kurangnya, dalam tempoh ini. Aku mahu ke masjid.
