Balaslah dengan manfaat dan kebaikan

Pepatah ini biasa diungkap, tetapi jarang sekali diamalkan. Atau mungkin sekali sukar dipraktikkan apabila situasi ‘dilempar batu’ itu berlaku.

Pepatah ini relevan andai kebaikan, usaha dakwah mahupun kebajikan yang kita buat disalah ertikan dan ditentang. Usaha dakwah Rasulullah s.a.w. umpamanya, ditentang bukan secara biasa-biasa, tetapi dengan najis, bangkai, duri,kata-kata, pemulauan dan peperangan sebagai alat.

Mengajak teman ke arah kebaikan; program-program agama umpamanya, kadang-kala juga dicemuh sesetengah rakan kita.

” Yelah, kau budak surau, pergilah ke program kau tu.”

“Blah ar wei, bajet orang beriman la tu.”

“Tu, budak soleh nak berdakwah kat kita la tu.”

Bersangka baik, berlapang dada

Orang yang sentiasa berusaha mendalami ilmu agama dan hidup bersama program-program tarbiyah lebih taqwanya kepada Allah s.w.t., berbanding mereka yang jauh dari agama. Taqwa bererti menelusuri kehidupan di dunia dengan penuh berhati-hati dari ranjau dosa dan laknat Allah s.w.t., semata-mata untuk mencapai redha dan syurga-Nya kelak. Justeru itu, tohmahan dan halangan daripada sekelompok manusia tertentu bukanlah asbab untuk kita membenci mereka, mahupun membalas semula perbuatan buruk mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain”. (Riwayat Muslim)

Teringat pula kata-kata Shaheizy Sam yang sering didengar dalam iklan selingan di radio ERA yang maksudnya lebih kurang:

“Biar orang buat kita, jangan kita buat orang…”

Lebih baik kita bersangka baik terhadap mereka, berlapang dada seterusnya mendoakan agar Allah s.w.t. membuka hati mereka untuk memperbaiki akhlak.

Ya Allah! Ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui. Amin! Amin! Amin! Ya Rahman! Ya Rahim! Ya Ghafur! Ya Rab bal A’lamin!.”

Membenci pun tidak mahu

Maksiat dan kejahatan ada di mana-mana. Tetapi masih ramai orang Islam meredhai. Membenci dengan hati pun tidak mahu?

Hati yang tidak membenci kejahatan adalah hati yang sangat sakit.

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; “Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah selemah-lemah iman.”

Hati yang membenci adalah tanda iman yang paling lemah?

Maka mereka yang berhati tidak membenci, adakah iman mereka di bawah paras negatif?

Alfatih vs Muslihin

Seorang murabbi pernah menyebut pada suatu masa dahulu, antara dua kumpulan halaqah yang dia jaga, ada perbezaan yang tersirat yang dirasainya apabila setiap halaqah itu berjalan.

Ahli-ahli halaqah pertama ini berhalaqah untuk mendapatkan kekuatan, kata-kata semangat, iltizam dan suntikan baru untuk beramal. Seolah-olah medan amal yang mereka hadapi terlampau mencabar dan memerlukan ketahanan. Mereka seperti tidak henti-henti berlumba dan bertempur dangan kebatilan dengan sepenuh kekuatan. Umpama perwira dan mujahid di medan perang kembali ke khemah untuk mendapatkan bekalan dan suntikan semangat jihad. Dan di halaqah ini, mereka mendapatkannya.

Lalu mereka kembali ke medan amal untuk terus berjihad.

Ahli-ahli halaqah kedua ini berhalaqah untuk mendapatkan belaian, pujukan, kata-kata nasihat dan penguat azam. Seperti mereka di medan amal telah dibelasah bertubi-tubi sehingga luka parah yang teramat. Sehingga mereka telah dihina dan dicerca oleh para musuh agama yang durjana. Mereka kembali mencari-cari seseoang untuk meluahkan perasaan dan kesedihan. Dan di halaqah ini, mereka mendapatkannya.

Lalu mereka kembali ke medan amal untuk terus berjihad.

Apa yang penting, jangan pernah berhenti untuk berjihad.

Next Page »